Index» » » » » » » » » Bot Pukat Tunda Ancam 2 000 Nelayan Pantai

Bot Pukat Tunda Ancam 2 000 Nelayan Pantai

Selasa, 18 Februari 2014


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mahu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bertindak tegas menghalang pencerobohan bot pukat tunda di kawasan tangkapan nelayan pantai di seluruh negara.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, pencerobohan kawasan itu menyebabkan tinjauan tangkapan nelayan pantai merosot dengan teruk sejak kebelakangan ini dan mengalami kerugian kerana jaring mereka sering dilanggar oleh bot pukat tunda.

“Tinjauan CAP di Pulau Pinang sahaja mendapati lebih 2,000 nelayan pantai di 10 pengkalan daerah barat daya terjejas sumber pendapatan akibat kegiatan itu. Pangkalan nelayan terlibat adalah Pulau Betong, Kuala Jalan Baru, Sungai Burung, Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, Teluk Tempoyak, Sungai Batu, Permatang Damar Laut, Permatang Tepi Laut dan Batu Maung.

“CAP difahamkan bot pukat tunda yang berpengkalan di Batu Maung itu kerap menceroboh kawasan tangkapan nelayan pantai pada waktu malam dan beroperasi hanya satu atau dua batu nautika dari pantai.

“Kegiatan bot-bot pukat tunda ini bukan saja mengancam sumber perikanan di kawasan pantai tetapi juga membunuh anak-anak ikan (benih), mencemarkan dasar laut dan kawasan pantai serta melanggar dan memusnahkan jaring kepunyaan nelayan-nelayan pantai,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

S.M. Mohamed berkata, ada nelayan pantai mendakwa pendapatan mereka merosot daripada lebih RM100 sehari kepada cuma RM15 sehari akibat ancaman bot pukat tunda terbabit hingga menyebabkan ramai mereka terpaksa berhutang bagi meneruskan kerja-kerja tangkapan.

Justeru, katanya, CAP berasa kesal kerana isu pencerobohan bot pukat tunda di kawasan nelayan pantai masih berlaku di negara ini meskipun perkara itu telah banyak kali dibangkitkan kepada pihak berkuasa malah masalah itu dilihat semakin kerap berlaku.

Beliau turut mendakwa sumber perikanan di perairan Pulau Pinang mungkin pupus dalam tempoh 10 tahun lagi sekiranya pihak berkuasa tidak bertindak tegas menangani isu tersebut.

“CAP mendapat tahu bot pukat tunda semakin rakus mengaut anak ikan ( ikan kecil atau benih ikan ) di laut kerana ia laris dijual sebagai ikan baja dan makanan ikan ternakan untuk projek akuakultur,” dakwanya lagi.



Tidak ada komentar:

Posting Komentar